Pakej Iklan

Thursday, September 30, 2021

CARA FIKIR DS NAJIB RAZAK MENGENAI EKONOMI

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Cara berfikir DS Najib Razak ni lebih kurang cara berfikir strategist perniagaan, ataupun cara berfikir engineer. Cara berfikir strategist perniagaan adalah nampak peluang berdasarkan maklumat yang diperoleh, kemudian execute project untuk raih pulangan. Cara berfikir engineer pula - nampak kesibukan sektor penerbangan sebagai masalah, kemudian execute plan tidakan untuk selesaikan masalah tersebut.

2) Maka, kedua-dua cara berfikir itu menghasilkan idea HSR antara KL-Singapore. Kesibukan penerbangan KL-Singapore yang tentunya menguntungkan sektor penerbangan tersebut akan juga meraih pulangan besar kepada sektor keretapi laju atas faktor yang sama. Malahan masalah yang dihadapi oleh pengguna bagi sektor penerbangan, akan mempunyai alternatif keretapi laju.
3) Demikianlah idea HSR yang DS Najib mahu laksanakan. Bukan saja-saja nak main lawan keretapi siapa paling laju, atau saja-saja nak buat projek mega tanpa tujuan besar. Ia adalah projek merebut peluang. Pembatalan projek HSR KL-Singapore yang digantikan dengan KL-Johor adalah merugikan kerana permintaan pengangkutan KL-Johor jauh lebih sedikit berbanding KL-Singapore.
4) Bab kes mahkamah, itu cherita lain. Kita sembang pasal idea bagus yang dibazirkan hanya kerana kita melabel beliau sebagai perompak, penyamun, kleptokrat dan kluster mahkamah. Idea-idea bagus ini bukan sahaja ketika dia memerintah, bahkan disebut juga dalam Facebook beliau serta ucapan dalam parlimen. Bukan cadangan biasa-biasa, tetapi beberapa cadangan beliau diambil dan dilaksana oleh kerajaan hari ini.
5) Kalau nak cherita kesalahan dan kelemahan beliau, berkoyan-koyan kita boleh senaraikan. Bahkan orang lain pun lebih kurang saja kalau kesalahan mereka dikorek. Tapi idea-idea yang bagus, bukan semua orang ada. Saya tidak akan undi beliau, tetapi idea beliau saya rasa logik.
Sekian


Wednesday, September 29, 2021

APA FAEDAH PROJEK MEGA?

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Masalah projek-projek mega ini, ia terdedah kepada pembaziran dan ketirisan jika ditadbir urus oleh orang-orang yang tidak amanah. Jika projek mega diurus dengan baik, ia akan memberi impak berantai kepada rakyat ketika proses pembinaan hatta selepas selesai.

2) Projek mega - contohnya projek pembinaan yang mega - ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada pihak kontraktor yang terlibat dengan projek tersebut, bahkan membuka peluang pekerjaan di pihak vendor-vendor lain secara langsung dan tidak langsung. Apabila sektor pembinaan bergerak, ia akan turut menggerakkan sektor besi keluli, sektor perlombongan batuan, sektor perkayuan, sektor logistik dan pengangkutan, sektor machinery, sektor jentera, sektor minyak dan bahan api, daaaan sebagainya.

3) Semua sektor yang terlibat secara tidak langsung pula akan membuka peluang-peluang pekerjaan dalam sektor mereka. Kemudian akan terbuka peluang kepada sektor lain pula seperti sektor perniagaan, sektor rumah-rumah sewa atau perumahan dan seumpamanya. Maklumlah pekerja semakin ramai. Ia akan berantai. Ekonomi akan bergerak mengikut supply and demand dengan lancar.


4) Tipikal pembangkang, atau tipikal DS Anwar itu sendiri, kerap mempersoal keperluan projek-projek mega dan dikaitkan dengan masalah ekonomi rakyat - sejak dahulu lagi. Tetapi kita harus ubah cara berfikir tentang rantaian ekonomi rakyat yang sebenar. Kenapa pengangguran berlaku? Kenapa peluang pekerjaan tidak banyak? Yang kita kena pertikai atau tanya dalam pengurusan projek mega ini adalah ketelusan, bongkarkan penyelewengan dalam pengurusan, betulkan kebobrokan dalam pengendalian. Bukan membenam terus projek mega yang dirancang.
Sekian

Monday, September 27, 2021

SIDANG DUN KEDAH TOKSIK

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Dalam cherita yang DUN Kedah dalam forum ini, saya suka ulasan YB Dato Johari Abdul. Beliau ada vision yang baik dan berkelayakan untuk jadi MB Kedah. Cara dia sembang terbaik (y), ada sebahagian idea untuk kemajuan Kedah yang dia kemukakan itu saya pernah ulang tulis beberapa kali sebelum ini, termasuk sembang saya tentang keperluan kepada fokus sektor pelancongan. Mungkin saya suka dengan Dato Jo ni sebab rasa macam senada dalam isu yang dia sebut.

2) Mengenai teguran YB Dato Jo terhadap ADUN PAS yang dari awal ucapan asyik hentam pembangkang dan jek MB, saya bersetuju. Saya pun perasan Adun tersebut. Mungkin saya pun jenis 'lemas perut' bila duk tengok perangai duk jek orang. Kita boleh beza antara menyokong, membackup dan jek keterlaluan. No need.

3) Dato Jo juga mengharapkan Adun-Adun muda dalam DUN mendatangkan idea-idea yang bagus dalam pembentangan supaya dapat mencetuskan idea-idea lain daripada Adun-Adun lain - untuk memajukan negeri Kedah. Tapi kan Dato Jo, mungkin masalah kita semua selaku negara dan negeri dunia ketiga - yang mana wakil rakyat dan pemimpin terpaksa habiskan masa untuk kerja meraikan masyarakat.

4) Susah Adun-adun nak luang masa fikir idea-idea besar, kerana pada akhirnya akan terbantut kepada persoalan "longkang tersumbat", "air paip jadi air teh", "YB tak turun kawasan", "Adun tak bagi bantuan itu ini". Walhal kerja-kerja kebajikan sedemikian, sudah ada jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat untuk handle perkara tersebut.
5) So, bagaimana nak terfikir untuk fikir pasal di kawasan sendiri ada geografi yang bagus untuk pembangunan, pelancongan, ada sesuatu yang strategik untuk kemajuan rakyat, bagaimana nak fikir untuk generate man power dalam kalangan rakyat untuk memacu kemajuan negeri, initiate projek-projek skala kechil untuk keterlibatan orang kampung bermandiri supaya kalis krisis ekonomi dan sebagainya.
6) Tak sempat nak fikir, sebab mentaliti rakyat hanya akan judge pemimpin yang baik adalah pemimpin yang turun bagi bantuan kepada mereka berupa duit dan barangan keperluan harian. Terpaksa follow cara demikian, jika tidak - tiada undi untukmu.
7 ) Kesimpulan yang dibuat oleh YB Ir Pahrolrazi juga baik, saya juga pernah sebut perkara yang sama (kerajaan demokrasi adalah terdiri daripada komponen pemerintah dan pembangkang). Katanya istilah pemerintah dan pembangkang ni tak berapa betul. Semua Adun dalam DUN adalah kerajaan, cuma ada Adun yang menjadi executive dan MB adalah ketua executive, dan ada yang tidak jadi excutive. Idea dan kesimpulan yang baik supaya kerajaan meraikan pembangkang, cuma bila fikir balik semasa PH jadi kerajaan, hmmmmm.... macam sembang saja laa. But still, ia adalah satu benda yang baik untuk kerajaan negeri ubah. Saya yakin MB Kedah tiada masalah untuk memulakan politik harmoni antara kerajaan dan pembangkang. Cuma pembangkang pun kena cherdik juga lah kalau nak deal dengan spesis kahaq macam Mb Kedah. Duk main tembak ikut dan, MB pun duk main bidas balik laa. 8 ) Apa yang Dato Jo sebut adalah bagus. Walaupun tajuk forum adalah Siang DUN Kedah Toksik, saya suka ulasan Dato Jo. Panel-panel lain saya rasa lebih menggoreng dan mentoksikkan persidangan DUN. Amende duk pertikai kerajaan negeri tak kemukakan SOP untuk rakyat masuki fasa endemik. Ulasan moderator YB Ismail Salleh pun memang ke laut. Tak sesuai kalau dia jadi MB. Rasanya tajuk forum "Sidang DUN Kedah Toksik" dia yang cadang 😈. Saya rasa saja.
Sekian Link forum Live FB: https://www.facebook.com/watch/live/?ref=watch_permalink&v=3005501639709322

Sunday, September 26, 2021

PERTEMBUNGAN ILMUAN YANG TAK BERKESUDAHAN

 Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Dulu-dulu kita tengok berlaga secara terbuka antara Ustaz Zamihan dengan DrMAZA. Sekarang duk berlaga secara terbuka antara Ustaz Mohaizad dengan Dr Rozaimi. Kritik mengkritik, sindir menyindir semakin berlaku secara terbuka. Lebih galak bila ada sokongan.

2) Sebenarnya, sampai bila pun tak habis pertembungan terbuka demikian. Ia hanya bagai merekrut followers dan penyokong. Dicelah-celah itu pula ada pengadu domba simbah petrol nak bagi para penyokong masing-masing berbalah.

3) Satu pihak berdiri atas strongnya kualifikasi PhD. Orang yang ada PhD boleh tahu betapa struggle untuk dapat PhD, dan memerlukan usaha yang gigih, sistematik dan istiqamah. Bahkan keabsahan PhD dalam bidang hadis yang beliau dan rakan-rakannya miliki adalah teruji dalam Viva dan thesis. Viva dan thesis bukanlah kayu ukur sebenar, tetapi sistematiknya dalam usaha menyiapkan kajian dan thesis itu menjadi satu rutin yang akan menjadikannya sangat strict dan detail dalam menyaring maklumat yang diterima.

4) Manakala satu pihak lagi berdiri atas strongnya belajar dalam tempoh masa yang lama dengan guru-guru yang 'alim dan tsiqah. Bermula daripada sistem pondok, kemudian sambung belajar dengan guru-guru di Timur Tengah dalam masa lebih 20 tahun, kemudian sekembali ke Tanah Air juga masih terus belajar dengan tuan-tuan guru-guru pondok - sambil mengajar. Cabaran untuk belajar dengan sabar dan istiqamah menuntut ilmu bukan sesuatu yang mudah. Mendampingi guru-guru yang alim dan tsiqah bukan sahaja mendapat keberkatan ilmunya, bahkan dapat keberkatan pada adab dan akhlaknya.

5) Justeru, kedua-duanya mempunyai kekuatan yang besar untuk mendidik ummah kepada jalan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W. Jadi sebagai orang awam, kita tak perlu galak memihak dalam pertembungan tersebut. Bahkan tidak perlu untuk jadi orang tengah untuk mendamaikan mereka. Kerja mendamaikan mereka bukan tugas kita. Ia adalah tugas orang yang lebih alim dan lebih tsiqah daripada kedua-dua mereka. Sebab kalau kita yang tak reti apa benda duk join menyampuk sokong sana bantai sini, takut-takut jadi spesis adu domba sahaja.
6) Kita hanya perlu berdoa sahaja agar kesemua ilmuan kita reti guna saluran dan adab yang baik untuk menyatakan pendirian dan hujah masing-masing.
Sekian

Friday, September 24, 2021

SEMBANG PASAL PROSEDUR 'DITIDURKAN'

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Bacaan normal Oximeter untuk kandungan oksigen yang normal dah sihat adalah 98% ke atas. Jika turun ke 93%, ia sudah masuk fasa merah. Perlu diberi bantuan corong oksigen untuk recover kekurangan oksigen. Bacaan 50% adalah tersangat kritikal. Further droplebih rendah dari 50% , pesakit mesti ditidurkan.
2) Kenapa mesti ditidurkan? Sebab ia adalah prosedur hospital. Apabila oksigen sudah collapsed sampai bawah 50%, pesakit itu sendiri akan automatik collapse, pengsan - sebab oksigen ke otak sudah terlalu rendah. Kandungan oksigen rendah dalam darah untuk dihantar ke otak adalah berpunca daripada kegagalan penerimaan oksigen di salur darah pada sel paru-paru.

3) Jika pesakit pengsan dengan sendiri, doktor mungkin tidak tahu bila masa pesakit itu pengsan dan tidak dapat melakukan rawatan segera. Ketika dalam keadaan pengsan, keadaan akan lebih parah kerana pesakit sukar bernafas. Jika ditidurkan secara manual, doktor akan segera melakukan prosedur bantuan pernafasan dengan mesin ventilator yang memantau pernafasan dan kandungan oksigen secara berterusan. Mesin akan membantu pesakit bernafas dengan sumber oksigen secara terus ke dalam paru-paru. Tidak timbul istilah doktor kejam dan zalim kerana 'memaksa' untuk 'tidurkan' pesakit.

4) Paru-paru yang telah dijangkiti secara teruk oleh coronavirus akan mengalami antara dua keadaan. Kemungkinan sel paru-paru telah rosak akibat serangan virus kerana tiada antibodi melawan, atau keadaan respon antibodi yang berlebihan - menghasilkan cecair untuk menghalang virus mendekati sel.
5) Kesukaran bernafas akibat sel paru-paru rosak, ia adalah permanent damage. Jika terlalu banyak sel paru-paru yang rosak, paru-paru akan gagal dan boleh menyebabkan kematian. Jika kesukaran bernafas disebabkan banyak cecair yang dihasilkan sel sebagai tindakbalas antibodi, pesakit masih boleh diselamatkan dengan prosedur mengeluarkan cecair tersebut dari peparu.

6) Jadi, ikutlah saranan doktor. Doktor bukan gila nak bunuh orang. Depa praktik ilmu yang depa belajar. Nak bulih belajar ilmu kedoktoran tu bukan semudah cari kat Google dan Youtube. Saya cherita kat sini pun setakat apa yang saya faham dari penerangan doktor perubatan. Tanya lebih, saya pun tak reti. Tapi kalau teori antivax, saya sangat reti nak cherita walaupun tak logik.

7) Key utama dia, jangan membongkak dengan apa yang kita ada. Samada provaks atau antivaks, atau sesiapa saja. Tuhan tidak suka kepada orang-orang yang bongkak. Provaks yang bongkak dengan vaksin, Tuhan akan tunjuk depan mata akan kematian akibat vaksin. Antivaks yang bongkak melawan vaksin, Tuhan akan tunjuk depan mata kematian akibat tak ambil vaksin. Sekian
p/s: Jika ada salah, doktor-doktor boleh bantu betulkan.

KERETA TERBANG MALAYSIA, KE MANA?

Sudah tidak lagi kedengaran pasal projek Kereta Terbang sejak kerajaan PH jatuh. Menteri PH terdahulu yang mempropose projek kereta terbang, yang kemudian menjadi Menteri PN juga tidak lagi bercakap mengenai kereta terbang. Jadi, apa yang terjadi kepada dana berjuta ringgit untuk projek tersebut? Apakah hasilnya? Walaupun pada zaman PH jadi kerajaan, Pak Duan tak rasa malu pun memperkenal model prototaip kereta terbang, tapi kini kita faham, Pak Duan mungkin malu dengan projek tersebut. Namun Pak Duan tak boleh lepas tangan walaupun telah bertukar portfolio, kerana dana yang digunakan tidaklah kechil, bukan?


Model 1.0 pun tak nampak hasil. Model 2.0 pun masuk angin keluar asap juga?






AWAS, MUNGKIN KITA DERHAKA IBUBAPA TANPA SEDAR!

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


Dosa besar selepas mensyirikkan Allah dan menderhaka Rasul - adalah menderhaka kedua ibubapa. Kemurkaan Allah adalah terletak pada kemurkaan ibubapa, selagi tidak melanggar akidah dan syariat.

 Antara derhaka yang jelas dilakukan seseorang anak adalah:

1) Membunuh ibubapa
2) Menyiksa ibubapa
3) Membelasah ibubapa
4) Memukul ibubapa
5) Menengking ibubapa
6) Memaki ibubapa
7) Bercakap kasar terhadap ibubapa
8 ) Menipu ibubapa
9) Mengatakan "uh" atau "ah" terhadap ibubapa
10) Membuat signal lucah (contoh: signal jari tengah) terhadap ibubapa

Manakala perbuatan derhaka yang dibuat tanpa disedari adalah:

1) Membuat mimik muka meluat terhadap ibubapa
2) Menyindir ibubapa
3) Melebihkan anak atau isteri berbanding ibubapa sehingga ibubapa terluka hati
4) Bercekak pinggang di hadapan ibubapa.
5) Merendah-rendahkan ibubapa di hadapan orang lain walaupun sekadar bergurau
6) Menghentak kaki ke lantai kerana memprotes ibubapa
7) Menghempas pintu bilik atau pintu rumah kerana tidak berpuas hati terhadap ibubapa
8 ) Lari dari rumah kerana marah terhadap ibubapa
9) Sengaja tidak menghubungi ibubapa walaupun berpeluang berbuat demikian sehingga membuatkan ibubapa sedih, terkilan dan kecewa.
10) Tidak menghormati ibubapa

Maka ketahuilah adab-adab yang baik terhadap ibubapa adalah sangat terpuji dan dituntut oleh agama.

1) Menghormati ibubapa
2) Menyayangi ibubapa
3) Bercakap dengan nada yang baik dan lemah lembut terhadap ibubapa, walaupun tidak bersetuju dengan mereka.
4) Berusaha memenuhi permintaan mereka selagi tidak menyalahi syarak
5) Sentiasa mendoakan mereka semasa mereka hidup mahupun setelah mereka tiada.
6) Memenuhi wasiat mereka setelah mereka tiada.
7) Menghubung silaturrahim dengan adik beradik serta sahabat handai mereka.
8 ) Melangsaikan hutang-hutang mereka
9) Menjadi anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan mereka serta mengamalkan ilmu yang diajar mereka.
10) Mengembirakan ibubapa.
11) Sentiasa menunjukkan wajah yang tenang dan senyum ketika berbicara dengan mereka.
12) Memandang wajah mereka dengan rasa kasih sayang adalah ibadah dan mendapat pahala.

Ingatlah, saat ketika ibu atau bapamu menghembukan nafas terakhir, maka ketika itu tertutuplah satu pintu keberkatan untukmu di dunia. Selagi berpeluang, berbuat baiklah kepada mereka. Sesungguhnya doa mereka makbul untuk anak-anak mereka. Kepada yang telah ketiadaan ibubapa, maka berdoalah untuk mereka bahagia di sana. Sesungguhnya mereka menanti doa-doa anak yang soleh dan solehah.

Sekian

ARKEOLOGI SUNGAI BATU PERLUKAN PERHATIAN

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Tapak bersejarah Sungai Batu perlukan perhatian kerajaan, bukan sahaja kerajaan negeri, bahkan kerajaan pusat. Penemuan artifak berusia ribuan tahun yang menjadikan Sungai Batu dikenali sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara - bakal membuka ruang untuk sejarah ketamadunan rantau ini ditulis semula berdasarkan penemuan terbaharu.
2) Penemuan artifak kapal purba berusia lebih 2000 tahun, serta penemuan pusat peleburan besi abad ke 3-5 Masehi menjadikan Sungai Batu bukan sahaja sebagai tamadun terawal di Asia Tenggara, bahkan ia mengiktiraf kehebatan nenek moyang kita dalam teknologi peleburan besi dan industri melibatkan perkapalan.



3) Namun setakat ini kita boleh kata peringkat kajian masih pada fasa penemuan dan memerlukan lebih banyak dana dan sokongan untuk menggali maklumat serta bahan bukti artifak. Dianggarkan dana lebih RM100 juta diperlukan untuk menaikkan artifak kapal purba, serta mengesan dan menggali artifak lain yang berkaitan. Dana ini mungkin sangat besar untuk sesebuah pertubuhan yang membuat kajian, bahkan untuk kerajaan negeri bantu buat masa ini kerana dana untuk melawan pandemik dan menangani krisis ekonomi rakyat. Tetapi untuk kerajaan pusat bantu, mungkin ada saluran tertentu yang boleh disalurkan untuk menjayakan projek arkoleogi ini.


4) Sesetengah orang mungkin akan mengatakan ia adalah pembaziran. Tetapi orang yang mendalami ilmu dan falsafah sejarah sesebuah ketamdunan, ia adalah sesuatu yang sangat berharga dan akan mampu mencetuskan kebangkitan semula semangat kehebatan tamadun nenek moyang terdahulu untuk membawa umat dan negara kita hari ini ke arah lebih cemerlang dan gemilang. Setidaknya, ia akan menjadi sumber inspirasi untuk menghapuskan perasaan 'inferiority complex' terhadap bangsa lain yang adalah dalam kalangan anak bangsa. Dari situlah kebangkitan semula kita akan bermula.
Sekian

Wednesday, September 22, 2021

EXPLOITASI WANITA: KEMENTERIAN WANITA KENA TAKE ACTION

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Saya setuju isu yang Harakahdaily ni bawak. Bukan isu baru, tapi apabila di bawa ketika ada kuasa sebagai sebahagian kerajaan, pihak PAS kena cari jalan untuk deal dengan kementerian atau pihak berkuasa yang ada kaitan dengan pengiklanan. Ataupun YB Zailah boleh ajak YB Rina bertemu muka dengan kementerian atau pihak terkait untuk atasi isu exploitasi tubuh wanita dalam pengiklanan.

2) Isu ini bukan baru. Ia bahkan mendonia. Malahan semakin teruk pula level exploitasi. Sekecil-kecil produk sehingga sebesar-besar produk, yang ditayangnya imej wanita. Gambar wanita lebih besar daripada produk. Malahan ada produk yang tak ada kaitan dengan wanita pun, diletakkan gambar wanita. It's truly exploitation.

3) Jadi, pihak kementerian wanita kena ada inisiatif untuk berbincang dengan pihak berwajib untuk atas isu ini. Jika perlu kepada usul dalam parlimen, bawa usul dan bahas sampai jadi. Cooperate dengan kementerian penerangan, majlis-majlis perbandaran dan bahkan Google dan Facebook Malaysia untuk handle benda ni.

4) Cara yang keras iaitu bertindak tegas mendenda pihak yang membuat iklan - seperti memadam iklan billboard, menyita iklan-iklan fizikal, memburu pembuat iklan exploitasi wanita dalam media sosial, media TV, surat khabar dan seumpamanya. Itu cara keras yang pasti akan ada pihak yang akan bantah. Kita boleh agak siapa yang akan bantah - di dalam dewan mahupun luar dewan.

5) Cara lain yang boleh juga dicuba adalah memberi diskaun kepada kos sewa iklan-iklan Billboard yang tiada exploitasi wanita, iklan-iklan TV dan sebagainya. Bahkan boleh ditambah baik iklan-iklan tersebut dengan memberi imbuhan tertentu kepada pengusaha iklan yang boleh create iklan yang memberi nasihat dan pendidikan adab dan akhlak kepada penonton - tak kira di Billboard ataupun iklan TV.

6) Contohnya iklan sabun mandi, yang tiada exploitasi wanita, beri diskaun. Jika ada tambah sepotong hadis Nabi mengenai kebersihan, atau kata-kata nasihat supaya menjaga kebersihan diri - berikan hadiah kepada orang atau syarikat yang bikin iklan tersebut. Jika mampu buat iklan yang ada pengajaran seperti iklan-iklan Thailand, terbaik.

7) Kita ada bakat-bakat Youtuber yang menghasilkan iklan-iklan produk dengan lakonan babak yang memberikan pengajaran - sekaligus mampu mencetuskan sale yang baik kepada produk tersebut - tanpa perlu mengexploitasi wanita. Bakat-bakat TikTok pun berlambak jika nak jadikan medium pengiklanan yang mendatangkan manfaat kepada audience. Selain daripada mempromote produk - mereka mendidik audience dengan sifat-sifat yang baik.

Sekian

POSTER KEMATIAN




Setiap kali berlaku kematian, akan ada poster ucapan takzian dah doa untuk si mati - muncul di newsfeed media sosial kita. Suatu hari nanti, akan muncul poster ucapan takziah begini lebih kurang, yang ada gambar kita dan nama kita - di newsfeed orang lain. Waktu itu akan tiba, dan kita tak dapat tengok dan baca pun poster yang ada gambar kita tu.

Marilah kita pakat baca doa ini untuk diri kita, sebelum tiba masanya kita hanya menanti doa orang untuk kita.

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِيمَهُ، وَخَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ فِيهِ

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku adalah umur yang terakhirnya, sebaik-baik amalku adalah amal-amal penutupannya dan sebaik-baik hariku adalah hari saat aku menghadap-Mu."

Thursday, September 16, 2021

SELAMAT HARI MALAYSIA

 

SELAMAT HARI MALAYSIA

Salam Keluarga Malaysia.
Salam MoU.

Semoga keharmonian berterusan. Semoga menjadi negara yang baik dan rakyatnya mendapat keampunan Tuhan.

(Dr Tanaka Mustafa)
16.09.2021

Wednesday, September 15, 2021

MANFAATKAN KEBAIKAN DAN KELEBIHAN YANG ADA PADA SETIAP ORANG

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) DS Najib sarankan platform dagangan cryptocurrency ditambah. Cara beliau berfikir mengenai ekonomi negara memang ada point yang baik. Tak hairan pasaran Bursa strong ketika beliau menjadi PM. Usaha beliau merancakkan kegiatan ekonomi menjadikan negara kita ada lebihan wang dan hasilnya dapat diguna ketika pandemik untuk membantu rakyat.
2) TS Muhyiddin membuat pengumuman bantuan-bantuan beratus bilion kepada rakyat dan sektor-sektor ekonomi bagi menampan impak dahsyat pandemik, tetapi sumber keewangan yang besar itu datangnya daripada zaman DS Najib menjadi PM.
3) Walaupun hari ini beliau berdepan dengan kes-kes mahkamah dan pertuduhan-pertuduhan berat, bahkan telah didapati bersalah - kemudian dalam proses rayuan dan seterusnya - sehingga digelar sebagai penyamun, penyangak, perompak dan kleptokrat oleh sebahagian besar orang, tetapi kemampuan beliau meneroka aspek-aspek baharu untuk kemajuan ekonomi negara tidak boleh diperkechil atau diabaikan.
4) Kebolehan beliau perlu juga dimanfaatkan tatkala kita sedang berdepan dengan krisis besar ekonomi, kesihatan, politik dan sebagainya. Kes-kes mahkamah adalah satu perkara lain yang perlu beliau hadapi. Tetapi pada masa yang sama, nasib masa depan ekonomi rakyat dan negara juga perlu ada solusi, dan DS Najib mungkin ada cara yang perlu kerajaan ambil manfaat.
5) Betul kita ada pakar ekonomi, pakar keewangan, segala macam kelulusan ekonomi kita ada. Tapi apa salahnya jika ada idea yang baik daripada penjahat, lanun, pengganas atau sesiapa sekalipun - untuk kecemerlangan ekonomi?
6) Masalah dalam umat kita ni adalah menghukum sesesorang pesalah dengan budaya cancel. Habis semua kebaikan atau kebolehan yang bermanfaat daripada pesalah itu dibuang jauh-jauh. Kita letak label kleptokrat sahaja, habis manfaat kepandaian dia dalam bidang ekonomi kita buang. Kita letak label dia peliwat, habis semua kebolehan dia sebagai strategist yang mampu menurukan harga minyak. Kita letak label dia sebagai ulamak jahat atau penunggang agama, habis segala jasanya dalam menyampaikan ilmu dan mendidik umat kita lupakan. Kita label dia sebagai orang tua kutuk tak sadar diri, kita buang buah fikirannya yang genius untuk membantu menghadapi krisis.
7) Satu kesalahan dibesar-besarkan untuk menutupi 100 kebaikan dan manfaat yang orang itu boleh bagi. Kita diskredit keseluruhan ability seseorang itu kerana kita tidak suka kepadanya. Walhal kita tahu, setiap manusia pasti ada kebaikan dan kekurangan, ada kemanfaatan dan ada kebongokan.
8 ) Kita masih tiada satu figure yang mampu menyatukan semua manfaat dan kebaikan yang ada pada setiap individu untuk kebaikan bersama, kerana kita masih terjebak dengan hasad, sakit hati, dendam, rasa mahu dominan, gila kuasa dan sebagainya - sehingga kita memilih untuk memanipulasi keburukan dan kebongokan demi mematikan karier politik seseorang.
9) Saya bukan peminat DS Najib Razak. Tetapi saya lihat cara dan isi kandungan perbahasan beliau lebih fokus kepada agenda yang baik untuk ekonomi rakyat dan negara (tidak merujuk kepada video cryptocurrency semata). Tak kiralah samada beliau sendiri yang buat text atau ada think tank yang bantu dibelakang, ia adalah sesuatu yang jauh berbeza levelnya berbanding cara sebahagian MP kerajaan dan MP Pembangkang.
Sekian

Tuesday, September 14, 2021

VAKSIN BUKAN UBAT

Oleh: Dr Tanaka Mustafa




1) Vaksin bukan ubat. Hanya sejenis bahan untuk tubuh badan kita trigger penghasilan antibodi. Yang nak lawan virus tu bukanlah vaksin, tapi antibodi. Vaksin ni umpama 'loceng amaran' untuk kerahkan sel-sel pertahanan menghasilkan antibodi.

2) Amount vaksin yang sama, tetapi antibodi yang terhasil adalah berbeza mengikut individu. Ada individu yang tubuhnya boleh hasilkan antibodi dengan cepat dan banyak. Ada yang perlahan dan ambil masa. Semuanya bergantung kepada fisiologi tubuh seseorang.
3) Salah satu faktor lain yang membantu penghasilan antibodi adalah diet pemakananan. Kalau pemakanan tak betul, cucuk 5 dos vaksin pun susah tubuh nak hasilkan antibodi. Sel-sel tak cukup "sumber dan ramuan" untuk hasilkan antibodi walaupun vaksin yang cuba trigger.
4) Antara makanan yang boleh menjadi sumber dan ramuan untuk penghasilan antibodi adalah cendawan, bawang putih, kunyit, seafood, brokoli, halia, bayam, teh hijau, buah-buahan sitrus dan ubi keledek.
5) Makanan-makanan ini ditulis sebagai meningkatkan imuniti badan. Ia menyediakan bahan-bahan ramuan untuk sel-sel pertahanan menjana antibodi bersesuaian dengan 'loceng amaran' yang 'dibunyikan' oleh vaksin.
Sekian
Menu cadangan: Sup Kambing + cendawan siitake + brokoli + halia + bawang putih.
😄

Tuesday, September 7, 2021

SEMBANG: GENERATE SEMULA FILEM LAMA


Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Nampak politik macam tenang saja. Sembang bab filem pulak. Kita pilih sembang bab filem P. Ramlee. Sebab tadi baru habis tengok Nujum Pak Belalang.
2) Cherita Nujum Pak Belalang adalah salah satu cherita rekaan yang genius oleh TS P. Ramlee. Ia diiktiraf oleh negara luar sebagai setara dengan cherita fairy tales orang putih (Disney). Sesuatu hasil seni orang kata sukar untuk diulang buat semula. Ia adalah sentuhan yang tersendiri seseorang penggiat seni.
3) Nujum Pak Belalang sebenarnya ada nilai komersial antarabangsa yang sangat baik, kerana pengiktirafan tersebut. Tetapi disebabkan ia adalah filem hitam putih, filem lama punya cherita, ia kurang meletup di peringkat antarabangsa.
4) Adalah bagus jika pihak perfileman mengangkat semula cherita Nujum Pak Belalang dengan nafas baharu sesuai dengan teknologi hari ini. Kalau nak lakonkan semula mungkin agak leceh. Tetapi, dengan teknologi animasi 3D yang kita ada, Nujum Pak Belalang versi animasi 3D boleh di generate semula. Tak cukup sekadar kita warnakan sahaja filem lama. Walaupun ia usaha yang bagus, tetapi 3D animasi akan lebih mengangkat levelnya jika dibuat betul-betul.
5) Hanya perlu kepada pembinaan model-model karekter dalam Nujum Pak Belalang, serta pembinaan latar belakang filem menjadi 3D - filem animasi 3D Nujum Pak Belalang boleh dibangunkan tanpa perlu kepada pembinaan storyboard yang rumit. Semua sudah ada. Bahkan voice actor pun tak perlu sangat. Pakai saja voice original daripada filem asal pun boleh (untuk mengekalkan kualiti humor). Upgrade sikit teknik kawalan kamera, sebab zaman P.Ramlee takda view drone.
6) Muzik-muzik ciptaan TS P.Ramlee dalam Nujum Pak Belalang boleh digenerate semula dengan instrument moden. Nyanyian P. Ramlee kalau nak nyanyikan semula pun rasa masih boleh, kerana ada Fairus Misran. Kesemua elemen untuk membangunkan semua 3D animasi Nujum Pak Belalang ini rasanya Les'copaque memang ada kepakaran.
7) Rugi sebenarnya kita kesampingkan filem-filem lama yang berkualiti dari sudut jalan cheritanya. Beri nafas baru untuk tontonan generasi baharu, bahkan untuk komersial di peringkat antarabangsa. Cherita fairy tales yang Disney terbitkan pun bukan sekali dua.
8 ) Tak cukup animasi 2D, mereka terbitkan animasi 3D dengan jalan cherita yang sama saja. Orang pakat hadam dah jalan cheritanya, tapi dapat kutipan yang tinggi juga. Lion King contohnya, Beauty and the Beast, etc. Depa punya promote cherita rakyat depa ke pentas dunia. 10 kali ulang pun depa boleh buat dengan nafas baharu setiap kali tayang.
9) Jadi bakat-bakat animasi negara boleh manfaatkan legasi P.Ramlee juga. Antara cherita P. Ramlee yang sesuai di 3D animasikan contohnya Nujum Pak Belalang, Tiga Abdul dan Ali Baba Bujang Lapuk. Apapun ini hanyalah cadangan sembang-sembang sahaja. Terima kasih kerana membaca sampai habis
🙂
.
Sekian

Monday, September 6, 2021

KHASIAT PISANG UNTUK REDUCE STRESS

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Musim PKP ni ramai orang yang stress. Ada stress yang boleh diurus, ada stress yang ambil masa untuk tenang, ada yang stress kena ada jawapan solid, baru lega. Ada yang tak ada masalah apa pun, boleh stress juga.
2) Salah satu cara nak lega kan stress, jom minum air rebusan kulit pisang. Ikhtiar saja. Lagi bagus minum air kulit pisang daripada terjun Jambatan Pulau Pinang atau terjun KLCC tanpa parachute.
3) Basuh pisang elok-elok supaya bersih daripada kuman dan bakteria. Kalau pisang besar sangat, potong bagi muat periuk. Rebus lebih kurang 10 minit. Hidangkan.
4) Untuk menyesuaikan dengan selera, boleh diserbus bersama daun teh, letak gula secukup rasa. Minum macam teh O biasa. Bezanya, dalam teh O kita tu, ada bahan precursor untuk trigger perembesan hormon Serotonin. Hormon serotonin ni dianggap sebagai hormon gembira. Hormon serotonin adalah hormon neurotransmitter yang dirembes otak - menghasilkan feel-good-mood.
5) Jadi, inshaAllah dengan rembesan serotonin akan membuatkan kita sentiasa dalam keadaan mood positif. Tak ada lah nak stress memanjang. Bila sudah tenang dan feel good, kita akan happy dan ceria untuk berusaha mencari penyelesaian bagi setiap masalah yang krisis yang kita hadapi. InshaAllah.
6) SubhanaLLAH Maha Suci Allah, Tuhan yang mengurniakan khasiat pisang kepada kita sebegitu rupa.
Sekian

Saturday, September 4, 2021

CENDAWAN SHIITAKE

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Salah satu jenis cendawan kegemaran adalah Shiitake. Cendawan mempunya khasiat yang banyak dan baik untuk kesihatan. Cendawan adalah salah satu jenis tumbuhan yang mengandungi unsur Zinc. Maknanya, tak makan makanan jenis daging haiwan pun, kita boleh dapat Zinc.
2) Berikut adalah antara khasiat yang dianggarkan dalam 100g cendawan Shiitake:
Vitamin B2 - mencukupi 11% daripada keperluan harian
Vitamin B3 - mencukupi 11% daripada keperluan harian
Vitamin B5 - menyediakan 33% daripada keperluan harian
Vitamin B6 - menyediakan 7% keperluan harian
Vitamin D - menyediakan 6% daripada keperluan harian
Selenium - menyediakan 10% daripada keperluan harian
Copper - menyediakan 39% keperluan harian
Mangan - menyediakan 9% keperluan harian
Zink - memenuhi 8% keperluan harian
Folate - menyediakan 6% keperluan harian
3) Selain itu, beberapa khasiat lain juga turut ada dalam cendawan.
- Mengandungi bahan aktif lentinan
- Pelbagai vitamin dan mineral seperti vitamin A, B, B1, B2, niasin.
- Sumber protein dan Asid Amino
- Pengambilan cendawan shiitake secara berterusan dapat merendahkan paras kolesterol dalam darah sehingga 40-50%.
- Mampu menyerap lemak dalam tubuh. Dalam erti kata lain, boleh digunakan untuk DIET yang sihat kerana ianya dapat singkirkan lebihan lemak dalam tubuh badan.
4) Apakah dimaksudkan bahan aktif lentinan?
Bahan aktif lentinan menunjukkan daya efektif yang tinggi daripada sesetengah ubat terutamanya bagi menentang influenza dan penyakit lain.
5) Lentinan yang juga secara teknikalnya dikelaskan sebagai polysakarida juga dikatakan telah menunjukkan aktiviti anti-kanser di dalamnya. Cara lentinan bertindak adalah sama ada bagi menghenti atau memperlahankan pertumbuhan tumor.
6) Cendawan Shiitake ini boleh didapatkan dalam bentuk fresh dan kering. Boleh dimasak dalam pelbagai jenis masakan mengikut selera masing-masing. Saya selalu masak bersama sup dan sayur. Pernah juga cuba buat sate cendawan, atau masakan bergoreng, cendawan masak kicap etc. Ikut suka saja lah nak masak apa pun. Cendawan kita beli. Cuma jangan overdose - nanti jenuh ke toilet.
Sekian
sumber: tanakaPedia

Friday, September 3, 2021

PERINGATAN PRESIDEN PAS

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Apabila kita sebut "Presiden PAS" - yakni TG Haji Hadi Awang - maka akan ada dua golongan ektrim yang akan triggered. Satunya kumpulan walaun pentaksub, dan satu lagi kumpulan macai/mahacai pembenci. Kedua-dua kumpulan inilah antara yang memburukkan imej politik. Mereka tidak akan layan perkara yang rasional untuk dibincang. Hanya reti memutar isu-isu berkisar hal peribadi semata.
2) Presiden PAS seringkali memberi peringatan dalam tulisan-tulisan beliau kebelakangan ini agar umat Melayu/Islam bersatu padu, agar masyarakat berbilang kaum tidak asobiyyah dan jangan sekali-kali mengundang kuasa asing untuk campurtangan hal ehwal negara kita semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Tiga peringatan ini saya nampak sering diulang-ulang secara terang dan secara tersirat dalam tulisan beliau.
3) Tiga faktor ini kita boleh lihat sebagai point penting untuk menjaga kestabilan politik, keharmonian hidup bermasyarakat dan menjaga kedaulatan negara kita. Jika salah satunya dilanggar, akibat buruknya akan diltanggung oleh generasi anak-cucu kita kelak. Hari ini kita boleh sembang megah dengan teori-teori politik dan ekonomi, tetapi andai teori-teori kita melanggar tiga faktor utama tersebut, anak cucu kita kelak akan mencemuh generasi kita hari ini.
4) Umat Melayu/Islam sebagai umat majoriti dalam kalangan penduduk negara kita adalah merupakan tonggak kepada kestabilan negara. Maka dengan kukuhnya kesatuan umat majoriti ini akan menjadikan kestabilan politik dan sosial negara kita. Sangat jaran negara yang diperintah oleh minoriti menjadi stabil. Samada pihak majoriti akan bangkit melawan, atau minoriti yang memerintah akan bias kepada puak mereka sahaja.
5) Keharmonian hidup pelbagai kaum juga adalah faktor yang tidak boleh dipandang ringan kerana negara kita adalah negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Dengan faktor utama umat Melayu/Islam bersatu padu, keharmonian kaum dapat dikekalkan. Masalah kita hari ini adalah umat Melayu Islam tidak bersatu padu dan berpecah mengikut kepala-kepala politik masing-masing. Walaupun PAS berusaha untuk menyatukan parti-parti Melayu yang besar seperti UMNO dan BERSATU, tetapi di sana masih ada parti-parti Melayu lain yang juga besar menjadi penentang. Pendek kata, kita tidak capai kesatuan.
6) Apabila tidak ada kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan, musuh-musuh akan mencucuk jarum-jarum halus menghasut pemimpin-pemimpin umat/Melayu Islam yang berbeza cara fikir dan tindakan untuk terus melawan dengan propaganda yang manis didengar, teruja dengan slogan-slogan hebat - bahkan disertakan sekali menyerang dan membunuh karekter pihak yang tidak sehaluan dengan mereka dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan-tuduhan salah laku.
7) Keharmonian akan tergugat apabila masyarakat bukan Melayu/Islam akan mula berpihak di antara dua atau tiga pecahan kumpulan umat yang berpecah. Apabila terjadi demikian, pecahan Melayu/Islam yang lain mula sangsi terhadap masyarakat bukan Melayu/Islam. Semakin lama, akan semakin membara. Trust sesama rakyat Malaysia akan semakin hilang. Inilah yang Presiden PAS bayangkan dalam tulisannya.
8 ) Seterusnya, bukan lagi rahsia, bahkan menjadi 'open secret' bahawa pakatan pembangkang itu sendiri pernah bekerjasama dengan kuasa asing untuk memenangi pilihanraya, dan usaha mereka berjaya pada PRU14. Ia pernah dilaporkan oleh media asing, termasuk Washington Post yang mengatakan US campurtangan dalam politik Malaysia. Bahkan Deniel Twining daripada NED dan IRI mengakui mereka mula bekerja secara rahsia dengan pembangkang Malaysia sejak 2002.
9) Mungkin ketika itu PAS dan Presiden-nya belum menyedari keterlibatan kuasa asing untuk campurtangan dalam politik negara kita. Adat berkawan, semakin lama akan semakin kenal dan akhirnya terdedah juga sikap dan perlakuan. Sedikit sebanyak telah menjadikan PAS rasa tidak sepatutnya untuk meneruskan kerjasama dengan pembangkang waktu itu (PR). Namun PAS masih mahu 'selamatkan' para penyokong pembangkang waktu itu termasuk umat Melayu/Islam dalam PKR - kerana mereka tidak mengetahuinya. Tindak tanduk PAS 'dihidu' oleh DAP dan DAP menjadi parti yang mula-mula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS. Akhirnya para perwakilan PAS bertindakbalas menggesa 'tahaluf siyasi' dengan DAP dibatalkan. Hal yang sama terjadi kepada PKR, akhirnya tahaluf dengan PKR juga dibatalkan. PR pecah.
10 ) PAS menjadi lebih mesra UMNO. Walaupun PAS juga melawan UMNO/BN dalam PRU14, tetapi banyak program-program yang dihadiri secara bersama oleh pemimpin UMNO dan PAS sebelum PRU14. Bahkan Prsiden PAS pernah di-troll berpakaian sedondon dengan DS Najib Razak. Sikap PAS waktu itu menunjukkan bahawa PAS mahu bawa umat fokus menjaga kestabilan politik tanpa melibatkan kuasa asing. PAS menunjukkan caranya bahawa jika nak mengalahkan UMNO/BN pun, kena guna kekuatan sendiri, bukan menjemput kuasa asing untuk campurtangan. Slogan 'No DAP, No Anwar' ada asasnya, yakni asas kebarangkalian campurtangan asing itu tinggi.
11) Sekarang kita tidak tahu sejauh mana lagi perancangan kuasa asing untuk campurtangan dalam politik Malaysia. Jika berlaku campurtangan asing secara serius dalam pemerintahan negara, tiga point yang disebutkan Presiden PAS tadinya akan terlerai satu per satu. Dengan adanya campurtangan asing, masyarakat berbilangkaum yang tidak harmoni dan saling berwasangka - akan lebih memudahkan kuasa asing menjalankan agenda-agenda mereka menguasai negara. Yang tinggal hanyalah kebersatuan umat majoriti Melayu/Islam untuk menyeka kemaraan kuasa asing - mengulangi episod perjuangan datuk nenek moyang melawan penjajahan - tetapi dengan kerangka dunia pasca moden. Jika kesatuan umat ini juga lemah dan saling bercakaran, maka ia adalah berakhir untuk dikatakan sebuah negara merdeka.
Sekian
p/s: Tulisan ini bukanlah mengenai Presiden PAS, tetapi membincangkan tiga point yang disebutkan. Nak tengok siapa walaun pentaksub dan mahacai pembenci, boleh tengok lah dalam ruangan komen.