Pakej Iklan

Friday, September 3, 2021

PERINGATAN PRESIDEN PAS

Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Apabila kita sebut "Presiden PAS" - yakni TG Haji Hadi Awang - maka akan ada dua golongan ektrim yang akan triggered. Satunya kumpulan walaun pentaksub, dan satu lagi kumpulan macai/mahacai pembenci. Kedua-dua kumpulan inilah antara yang memburukkan imej politik. Mereka tidak akan layan perkara yang rasional untuk dibincang. Hanya reti memutar isu-isu berkisar hal peribadi semata.
2) Presiden PAS seringkali memberi peringatan dalam tulisan-tulisan beliau kebelakangan ini agar umat Melayu/Islam bersatu padu, agar masyarakat berbilang kaum tidak asobiyyah dan jangan sekali-kali mengundang kuasa asing untuk campurtangan hal ehwal negara kita semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Tiga peringatan ini saya nampak sering diulang-ulang secara terang dan secara tersirat dalam tulisan beliau.
3) Tiga faktor ini kita boleh lihat sebagai point penting untuk menjaga kestabilan politik, keharmonian hidup bermasyarakat dan menjaga kedaulatan negara kita. Jika salah satunya dilanggar, akibat buruknya akan diltanggung oleh generasi anak-cucu kita kelak. Hari ini kita boleh sembang megah dengan teori-teori politik dan ekonomi, tetapi andai teori-teori kita melanggar tiga faktor utama tersebut, anak cucu kita kelak akan mencemuh generasi kita hari ini.
4) Umat Melayu/Islam sebagai umat majoriti dalam kalangan penduduk negara kita adalah merupakan tonggak kepada kestabilan negara. Maka dengan kukuhnya kesatuan umat majoriti ini akan menjadikan kestabilan politik dan sosial negara kita. Sangat jaran negara yang diperintah oleh minoriti menjadi stabil. Samada pihak majoriti akan bangkit melawan, atau minoriti yang memerintah akan bias kepada puak mereka sahaja.
5) Keharmonian hidup pelbagai kaum juga adalah faktor yang tidak boleh dipandang ringan kerana negara kita adalah negara yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Dengan faktor utama umat Melayu/Islam bersatu padu, keharmonian kaum dapat dikekalkan. Masalah kita hari ini adalah umat Melayu Islam tidak bersatu padu dan berpecah mengikut kepala-kepala politik masing-masing. Walaupun PAS berusaha untuk menyatukan parti-parti Melayu yang besar seperti UMNO dan BERSATU, tetapi di sana masih ada parti-parti Melayu lain yang juga besar menjadi penentang. Pendek kata, kita tidak capai kesatuan.
6) Apabila tidak ada kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan, musuh-musuh akan mencucuk jarum-jarum halus menghasut pemimpin-pemimpin umat/Melayu Islam yang berbeza cara fikir dan tindakan untuk terus melawan dengan propaganda yang manis didengar, teruja dengan slogan-slogan hebat - bahkan disertakan sekali menyerang dan membunuh karekter pihak yang tidak sehaluan dengan mereka dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan-tuduhan salah laku.
7) Keharmonian akan tergugat apabila masyarakat bukan Melayu/Islam akan mula berpihak di antara dua atau tiga pecahan kumpulan umat yang berpecah. Apabila terjadi demikian, pecahan Melayu/Islam yang lain mula sangsi terhadap masyarakat bukan Melayu/Islam. Semakin lama, akan semakin membara. Trust sesama rakyat Malaysia akan semakin hilang. Inilah yang Presiden PAS bayangkan dalam tulisannya.
8 ) Seterusnya, bukan lagi rahsia, bahkan menjadi 'open secret' bahawa pakatan pembangkang itu sendiri pernah bekerjasama dengan kuasa asing untuk memenangi pilihanraya, dan usaha mereka berjaya pada PRU14. Ia pernah dilaporkan oleh media asing, termasuk Washington Post yang mengatakan US campurtangan dalam politik Malaysia. Bahkan Deniel Twining daripada NED dan IRI mengakui mereka mula bekerja secara rahsia dengan pembangkang Malaysia sejak 2002.
9) Mungkin ketika itu PAS dan Presiden-nya belum menyedari keterlibatan kuasa asing untuk campurtangan dalam politik negara kita. Adat berkawan, semakin lama akan semakin kenal dan akhirnya terdedah juga sikap dan perlakuan. Sedikit sebanyak telah menjadikan PAS rasa tidak sepatutnya untuk meneruskan kerjasama dengan pembangkang waktu itu (PR). Namun PAS masih mahu 'selamatkan' para penyokong pembangkang waktu itu termasuk umat Melayu/Islam dalam PKR - kerana mereka tidak mengetahuinya. Tindak tanduk PAS 'dihidu' oleh DAP dan DAP menjadi parti yang mula-mula memutuskan hubungan dengan Presiden PAS. Akhirnya para perwakilan PAS bertindakbalas menggesa 'tahaluf siyasi' dengan DAP dibatalkan. Hal yang sama terjadi kepada PKR, akhirnya tahaluf dengan PKR juga dibatalkan. PR pecah.
10 ) PAS menjadi lebih mesra UMNO. Walaupun PAS juga melawan UMNO/BN dalam PRU14, tetapi banyak program-program yang dihadiri secara bersama oleh pemimpin UMNO dan PAS sebelum PRU14. Bahkan Prsiden PAS pernah di-troll berpakaian sedondon dengan DS Najib Razak. Sikap PAS waktu itu menunjukkan bahawa PAS mahu bawa umat fokus menjaga kestabilan politik tanpa melibatkan kuasa asing. PAS menunjukkan caranya bahawa jika nak mengalahkan UMNO/BN pun, kena guna kekuatan sendiri, bukan menjemput kuasa asing untuk campurtangan. Slogan 'No DAP, No Anwar' ada asasnya, yakni asas kebarangkalian campurtangan asing itu tinggi.
11) Sekarang kita tidak tahu sejauh mana lagi perancangan kuasa asing untuk campurtangan dalam politik Malaysia. Jika berlaku campurtangan asing secara serius dalam pemerintahan negara, tiga point yang disebutkan Presiden PAS tadinya akan terlerai satu per satu. Dengan adanya campurtangan asing, masyarakat berbilangkaum yang tidak harmoni dan saling berwasangka - akan lebih memudahkan kuasa asing menjalankan agenda-agenda mereka menguasai negara. Yang tinggal hanyalah kebersatuan umat majoriti Melayu/Islam untuk menyeka kemaraan kuasa asing - mengulangi episod perjuangan datuk nenek moyang melawan penjajahan - tetapi dengan kerangka dunia pasca moden. Jika kesatuan umat ini juga lemah dan saling bercakaran, maka ia adalah berakhir untuk dikatakan sebuah negara merdeka.
Sekian
p/s: Tulisan ini bukanlah mengenai Presiden PAS, tetapi membincangkan tiga point yang disebutkan. Nak tengok siapa walaun pentaksub dan mahacai pembenci, boleh tengok lah dalam ruangan komen.

No comments:

Post a Comment

DISCLAIMER: Pihak Dr Tanaka Mustafa tidak bertanggungjawab atas komen-komen. Sila pastikan anda memberi komen yang baik dan tidak melanggar undang-undang negara dan tidak mencetuskan sentimen kaum dan agama.